25 December 2011

Hukum Meraikan Hari Natal Bagi Muslim

Tanggal 25 Disember merupakan tarikh istimewa bagi penganut agama kristian di seluruh dunia. Pada hari tersebut, para penganut agama ini akan meraikan perayaan Krismas sempena memperingati kelahiran Nabi Isa mengikut kepercayaan mereka. Menurut pegangan agama kristian, Nabi Isa merupakan anak kepada Allah S.W.T yang mengorbankan dirinya bagi menebus dosa warisan yang diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain akibat perbuatan Nabi Adam a.s. yang dikeluarkan dari syurga.



“Christmas Day” menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di muka bumi, iaitu Jesus. Walaupun di sana ada perselisihan pendapat pada tarikh kelahirannya, tumpuan utama adalah pada diri Jesus yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Hari Krismas. Jelas, perayaan ini disambut bersempena dua perkara ; Pertama : Jesus sebagai anak Allah dan kedua : pengorbanan Jesus yang disalib demi menebus dosa manusia.


Persoalan : Adakah perayaan ini boleh disambut oleh orang Islam dan bagaimana jika kita hanya mengucapkan tahniah/memberikan ucapan kepada masyarakat Kristian?

Jawapan : Hukum sambutan krimas ini boleh dibahagikan kepada dua :

1) Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang Kafir :

Ulamak bersepakat dalam PENGHARAMAN meraikannya atau turut serta dalam apa-apa sahaja bentuk sambutan yang berkaitan dengan perayaan orang kafir termasuk perayaan Krismas. Seperti yang telah diterangkan di atas, umat islam hanya mempunyai dua perayaan yang besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha.

Imam ibnu Qayyim menerangkan didalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan perayaan orang kafir : (TIDAK HARUS bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan orang kafir dengan persetujuan semua para ulama. Perkara ini telah dijelaskan oleh para fuqaha’ mazhab empat dalam kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat Imam Baihaqi daripada Umar bin Al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk bersama orang kafir ke dalam gereja mereka pada hari perayaan mereka, maka sesungguhnya kemurkaan diturunkan kepada mereka”).

Imam an-Nawawi juga menjelaskan dalam kitabnya Al-Majmu’ akan tegahan daripada bersama-sama dengan orang kafir di dalam majlis mereka kerana perbuatan tersebut memuliakan mereka dan dikira menyamakan kemuliaan orang mukmin dengan orang kafir, maka perkara tersebut adalah tidak harus.

Antara pendapat ulama dalam mengharamkan sambutan perayaan orang kafir adalah berdasarkan beberapa dalil antaranya :

• Sambutan tersebut menyerupai orang kafir. Pengharaman ini berdasarkan hadith baginda S.A.W. yang berbunyi :

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ ثَابِتٍ حَدَّثَنَا حَسَّانُ بْنُ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي مُنِيبٍ الْجُرَشِيِّ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Utsman bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Nadhr berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahman bin Tsabit berkata, telah menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al Jurasyi dari Ibnu Umar ia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia bagian dari mereka." “Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum (yang bukan Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka” (Hadith ke-3512 riwayat Imam Abu Daud)

• Penyertaan atau menyambut perayaan tersebut merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta kepada mereka. Allah S.W.T. berfirman :


Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya Yang lain; dan sesiapa di antara kamu Yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim. (Surah Al-Maidah ayat 51)


Perayaan krismas menunjukkan akan aqidah mereka yang salah serta mensyirikkan Allah, maka tidak harus kita menyertainya.


2) Hukum Mengucapkan Tahniah/Memberikan Ucapan Perayaan Kepada Mereka :

Imam Ibnu Qayyim mengharamkan ucapan tahniah ini dengan katanya dalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan Tahniah Kepada Ahli Zimmi : (dan adapun ucapan tahniah terhadap syiar yang telah dikhusukan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini, atau sebagainya).

Tetapi menurut Dr Yusuf Qardawi dalam fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan. Pendapat ini bersandarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud :


Maksudnya : dan apabila kamu diberikan penghormatan Dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu Dengan Yang lebih baik daripadanya, atau balaslah Dia (dengan cara Yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisaa’ ayat 86)


Kesimpulan : Agama Islam merupakan agama yang menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut agama lain. Namun, dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah, perkara ini adalah lebih utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah diletakkan, kita dapat melihat penyelesaian kepada permasalahan adalah seperti berikut :

1. Haram menyambut perayaan orang kafir disebabkan kesalahan aqidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya, perkara ini disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian dan pegangan mereka.

2. Dibolehkan memberikan ucapan atau tahniah pada hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita berasa gembira dengan perayaan ini tetapi hanya ingin menjaga hubungan kemasyarakatan dalam sebuah komuniti.
Apa yang paling penting ialah pendekatan yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat berbeza bangsa dan agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu diberikan perhatian supaya Islam itu dapat diperlihatkan wajahnya yang indah dan kefahaman tentang suatu peristiwa itu dapat diperbetulkan.




credit to Detikdaily . For more reading,please visit Detikdaily

No comments: